Monday, December 22, 2014

Setakat ini tulisanku, disini akhirnya

Setelah 2 dua hari membaca hampir kesemua entry yang telah menjadi sejarah dalam blog ni. Sebenarnya diri ini terasa ada sesuatu yang tak kena pada gaya tulisan dan penyampaian. Mungkin pada ketika di saat menulis, diri memang tak terasa apa-apa ketika itu.

Namun usia semakin jauh dan kematangan disertai ilmu dari tahun ke tahun membawa kepada kesedaran bahawa yang tidak kena itu mesti dirawat. Diri bertanggungjawab kepada apa yang ditulis bukan apa yang orang lain faham.

Memang diakui, tulisanku ini kengkadang menyinggung orang lain kerana terlalu direct dan inilah gaya tulisan pada masa lalu yang menjadikan diri ini tidak tenteram untuk terus meletakkan ia untuk terus dibaca dan dijadikan sesuatu yang kekal.

Sesuatu yang tidak kena apabila tulisan itu semua bersalut dengan emosi yang bercampur-campur dan kebanggaan. Ia meninggalkan kesan di hati ini bahawa daku tidak mungkin sampai kepada keredhaan Tuhan dengan tulisanku ini. Ada yang baik, namun tulisan yang tidak kena itu terlalu sukar untuk dibaiki.

Imam Birgivi ketika hayatnya yang lalu pada abad ke-16 dalam sejarah Daulah Uthmaniyyah. Beliau juga merasai sesuatu yang tidak kena pada masyarakatnya, lalu beliau meminta pendapat gurunya. Maka gurunya mencadangkan agar beliau meninggalkan jawatan dalam kerajaan. Cadangan itu diterima, bahkan bukan sahaja Imam Birgivi meninggalkan jawatannya, beliau juga telah mengembalikan kesemua wang gaji seumur hidupnya kepada kerajaan dan berhijrah ke kawasan terpencil. Rasa tersentuh dengan cerita Imam Birgivi ini.

Justeru diri ini tidaklah rasa kehilangan sangat jika blog ini akhirnya ditutup kerana diri ini juga pernah menutup account facebook suatu masa lalu dan kembali memulakan yang baru hanya untuk rakan-rakan terdekat setahun kemudian.

Menutup blog ini dirasakan jalan yang paling mententeramkan jiwa. Rasa terlalu cinta kepada ilmu, banyak buku-buku yang mahu dibaca. Tidak ada masa untuk menulis dan meluahkan rasa di hati di sini. Sesungguhnya ada orang lain di luar sana yang jauh lebih baik mampu untuk menukilkan sebuah rasa dan cerita penuh ibrah.

Cukup setakat ini, daku tidak mahu dikenali orang lagi, ingin kembali memiliki kehidupan tersembunyi, mempelajari ilmu, terus membaca, membaiki diri untuk mengejar harapan yang lebih baik untuk akhirat. Bersendirian dalam dunia yang sunyi.

Insha-Allah, facebook, twitter dan instagram samada masih ada atau bakal mengalami nasib yang sama dan diri ini meninggalkan beberapa entry yang dirasakan terbaik sebagai legacy untuk ditinggalkan dan yang selebihnya telah ditarik balik. Penulis blog ini memohon maaf di atas tulisan-tulisan yang lalu yang mungkin menyinggung rasa pengunjung yang bertamu di sini. Sehingga kita berjumpa lagi.


"Masa depan yang cerah berdasarkan pada masa lalu yang telah dilupakan. Kamu tidak dapat melangkah dengan baik dalam kehidupan kamu sehingga kamu melupakan kegagalan dan rasa sakit hati."